Wednesday, September 17, 2008
Minat terhadap keris
Sebagai cucu kesayangan, saya bertuah kerana lebih banyak menghabiskan masa dengan datuk saya sebelah ibu, dari keturunan Jawa, bernama Kyai Haji Sudirman. Beliau merupakan seorang guru agama yg mengajar di rumahnya sendiri, sementara nenek saya pula bernama Nyai Markini merupakan seorang bidan kampung. Datuk saya mempunyai sebilah keris pusaka berdapor lurus, dan dari masa kesemasa saya berpeluang melihat beliau mengasam limau kerisnya. Dari situ timbulnya minat terhadap senjata tradisional Jawa ini. Rakan rapat datuk saya yang bernama Kyai Marsan selalu juga datang pada masa-masa tertentu dengan membawa keris berloknya (tak ingat lok berapa). Apa yang saya ingat, dia berkerja dengan Jabatan Perparitan pada masa tersebut. Beliau pula suka menceritakan pengalaman-pengalamannya semasa bersama para pekerja dalam melaksanakan projek-projek saliran hingga ke dalam hutan. Dan pada sepanjang masa bertugas, menurut beliau, keris setiap masa tersisip di pinggangnya.Ditambah pula dgn tayangan di TV cerita-cerita purbakala yang dibintangi oleh Nordin Ahmad, Ahmad Mahmud, Yusuf Latif dan ramai lagi, minat terhadap keris semakin meningkat. Seringkali juga saya mengikut bapa saya ke gelanggang silat (kalau tak salah, silat Camandi). Walaupun sudah beranak pinak, bapa saya suka mengulang bangsal dengan guru yang sama bersama rakan-rakan beliau.Selepas kematian datuk saya dalam tahun 1984 ketika berusia lebih 100 tahun, keris pesaka beliau berpindah milik kepada Pak Cik tertua saya. Namun atas sebab-sebab tertentu (mungkin ada sedikit punca mistik???), keris tersebut diserahkan pula kepada adik beliau (anak ketiga). Dan pemegang keris ini sekarang pernah berjanji kepada saya untuk menyerahkan keris tersebut kepada saya apabila sampai waktunya kerana kebetulan saya merupakan anak ketiga juga, dan beliau hanya ada 2 anak. Dari pergaulan dengan orang-orang yang lebih tua itulah mulanya tertanam minat terhadap keris yang merupakan bukan sahaja senjata, bahkan lambang kesinambungan sesebuah keluarga. Pastinya dalam konteks yang lebih besar, keris juga merupakan lambang kedaulatan dan kuasa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment