Wednesday, September 17, 2008

Corat Coret

Bila kita cerita mengenai pedagang keris ni, macam-macam cerita boleh kita dengar. Pengalaman saya sendiri masa mula-mula menyimpan keris ni, lebih banyak pahit daripada yang manis.Tahun 1997, pada masa tersebut saya berkerja di sektor 'Property Management' dan juga pembinaan sebagai Pegawai Keselamatan & Pentadbiran. Yang paling mencabar ialah semasa menjadi Head of Dept (Security & Admin) semasa pembukaan sebuah bandar, iaitu Bandar Tasik Putri, Rawang. Kawasan tersebut asalnya estet kelapa sawit, kandang babi dan dikelilingi oleh beberapa kampung - kampung baru Cina, dan kampung tradisi Melayu. Di dalam kawasan estet pula, majoriti penduduknya adalah India. Terdapat juga kaum Sikh dan orang Asli mendiami kawasan tersebut.Harta benda yang terpaksa dilindungi pula dari jenis mesin-mesin, bahan pembinaan dan fixed asset yang lainnya. Ancaman rompak, paw, curi, rogol, bunuh dsb sudah menjadi rutin harian para anggota keselamatan, yang rata-rata terdiri dari penduduk kawasan sekitar dan bekas anggota tentera. Setiap anggota keselamatan pula, saya "galakkan" membawa senjata tajam menggantikan kayu cota. Tempahan senjata pula dibuat di Sungai Buaya dengan seorang tukang parang - biasanya parang atau golok. Saya sendiri pula menggunakan badik & lawi ayam (badik disimpan di dalam 4x4 bersama golok). Jumlah keseluruhan anggota di bawah tanggungjawab saya seramai lebih 40 orang, disamping "private army" dari kalangan bangsa Flores lengkap bersenjata buatan sendiri, seramai 200 orang yang boleh digerakkan pada bila-bila masa. Jumlah keseluruhan pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dsb. seramai lebih kurang 3000 orang. Bayangkan menangani masalah mereka ini yang bukan sahaja boleh bergaduh antara satu sama lain, bahkan sesama sendiri.Ancaman lain pula ialah dari gangster-gangster mesin judi, pelacuran dan perlindungan. Ada diantara mereka pula yang bersenjata api. Masa itu, kalau hati tak kering, jawabnya memang kena berhenti kerja. Namun, alhamdulillah, tiada masalah besar yang berlaku, dan saya masih hidup untuk menceritakan kisah ini.Pada masa tersebutlah, saya merasakan tenaga fizikal dan bantuan dari anggota keselamatan masih belum cukup. Terpaksa juga mengharapkan doa kepada Allah SWT disamping bantuan dari pihak lain - senjata yang ampuh, zahir dan batin. Untuk tujuan ini, badik sahaja masih jauh dari mencukupi, maka terpaksa mencari senjata sipat kandel dalam ertikata yang sebenarnya, iaitu keris. Ini cuma kisah-kisah introduksi sebelum akhirnya saya mendapatkan keris dari pedagang keris. Insyaallah bersambung.

No comments: